Monday, November 28, 2016

Pertandingan Mental Aritmetik & IQ anjuran bersama Persatuan Sahabat Prihatin Pulau Pinang dan Pejabat TKM(1) Pulau Pinang

Seramai 1,200 kanak-kanak berusia antara 3-12 tahun menyertai Pertandingan Aritmetik Mental dan IQ Piala LCT Zon Utara Kali ke-7 yang diadakan di Stadium Han Chiang, dekat sini, semalam.

Jawatankuasa Pengelola yang juga merupakan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Gan Ay Ling ketika ditemui berkata pertandingan yang telah memasuki tahun ke-tujuh penganjurannya ini bukan sahaja menerima penyertaan dari negeri-negeri Wilayah Utara, tetapi juga sehingga ke Sabah dan Sarawak.

“Pertandingan ini bertujuan untuk melihat sejauh mana proses pembelajaran matematik di sekolah mampu mengasah kebolehan mengira menggunakan kaedah aritmetik dan abacus (sempoa).
“Kebiasaannya ibu bapa atau guru akan mengajar menggunakan jari bagi menyelesaikan masalah matematik, tetapi penggunaan jari ini mempunyai kelemahan kerana kemahiran berfikir dan koordinasi pergerakan jari masih belum selari.

“Sebab itu, sebagai ganti, kebanyakan sekolah-sekolah kini menggalakkan penggunaan sempua atau objek lain yang boleh merangsang daya imaginasi kanak-kanak untuk membuat kira-kira,” katanya.

Hadir merasmikan pertandingan berkaitan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin. Turut sama pengasas pertandingan, Lin Ching Tang yang juga merupakan antara penggiat kaedah aritmetik mental di Taiwan dan Malaysia.

Menurut Ai Ling, kelebihan mempelajari kaedah aritmetik mental tidak hanya merangsang potensi minda ke tahap maksimum tetapi juga mampu menguatkan daya ingatan, tumpuan, imaginasi, daya fikir dan kecerdasan intelek (IQ).

Malah, ia juga mampu meningkatkan kemahiran latihan motor, kemahiran analisis san logikal.
“Dato' Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) merupakan antara individu yang menyokong penuh pertandingan ini dan saya percaya beliau juga mahu melihat lebih ramai kanak-kanak prasekolah mampu menguasai kaedah aritmetik mental ini,” katanya.

Pertandingan dianjurkan bersama Pejabat Timbalan Ketua Menteri I dan Persatuan Sahabat Prihatin Pulau Pinang.